PARIS: Sarawak melaksanakan kajian dan projek perintis bagi mencapai sasaran negeri ini menjana kapasiti tenaga mencecah 15 gigawatt (GW) menjelang 2035.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian terbabit ialah sistem Simpanan Pam Hidroelektrik (PSH) yang akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran itu.
“Sarawak Energy kini sedang menjalankan kajian PSH untuk menambah fleksibiliti sistem, mengukuhkan kebolehpercayaan dan menampung lebih banyak penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Driving the Energy Transition: Sarawak’s Roadmap for Renewable and Sustainable Growth dalam International Forum for Pumped Storage Hydropower di Ibu Pejabat UNESCO pada Selasa.
Mengiringi Abang Johari dalam forum itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili.
Beliau berkata, Sarawak juga memperkenalkan projek perintis seperti ladang solar terapung 50MW di Batang Ai yang pertama di Malaysia serta Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) 60MWh di Sejingkat.
“Kajian awal mengenal pasti potensi penjanaan sehingga 3GW tenaga hidro run-of-river di beberapa lembangan sungai Sarawak yang mampu memperkukuh lagi sumber tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.
Sementara itu, Premier Sarawak menjelaskan, Sarawak kini mengoperasikan beberapa empangan hidro utama termasuk Batang Ai, Bakun, Murum dan Baleh yang dibangun mengikut piawaian antarabangsa seperti Hydropower Sustainability Standard (HSS).
Beliau menjelaskan, Sarawak memperkenalkan projek perintis seperti ladang solar terapung 50MW di Batang Ai yang pertama di Malaysia serta Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) 60MWh di Sejingkat, yang turut menjadi perintis berskala utiliti di negara ini. – UKAS
