KUALA LUMPUR: Belanjawan Madani 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat di sini semalam, disifatkan sebagai belanjawan menyeluruh yang berpaksikan rakyat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi memberitahu belanjawan yang berjumlah RM421 bilion adalah satu rekod baharu berbanding RM383 bilion pada 2025.
Ahmad Johnie yang tertarik dengan peruntukan RM6 bilion kepada Sarawak berbanding RM5.9 bilion pada 2025 dalam Belanjawan 2026 itu turut menyifatkannya sebagai menyemati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya percaya peruntukan tersebut akan digunakan untuk mempercepatkan projek pembangunan dan membina infrastruktur asas yang diperlukan rakyat khususnya di pedalaman dan luar bandar,” katanya ketika mengulas Belanjawan Madani 2026.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Igan itu menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan pembangunan RM6 bilion untuk Sarawak.
Selain itu, peruntukan-peruntukan lain melalui berbagai kementerian dan ini sudah pasti akan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Sarawak khususnya di luar bandar, katanya.
Beliau turut menyentuh bahawa Kementerian Pendidikan menerima peruntukan Belanjawan yang paling besar iaitu RM66.2 bilion berbanding RM64.2 bilion pada 2025.
Katanya, Perdana Menteri menjelaskan bahawa melalui peruntukan berkenaan Kerajaan meletakkan mutu prasarana sekolah akan menjadi keutamaan.
Sebanyak RM2 bilion akan di peruntukan untuk menaik taraf lebih 520 sekolah daif di Sarawak dan Sabah termasuk membaik pulih kemudahan murid dan bilik guru.
Dalam hubungan ini, beliau mengharapkan agar pembinaan baharu serta baik pulih sekolah daif di Sarawak dapat di percepatkan termasuk menyediakan fasiliti digital demi membangunkan modal insan.
“Saya bersyukur kerana Kerajaan dalam Belanjawan kali ini terus komited memberi Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua 5.2 juta pelajar sekolah kerajaan di seluruh negara.
“Bantuan yang akan diberikan di sekolah melalui guru kepada ibu-bapa akan memastikan hubungan baik di antara guru dan ibu bapa terus terjalin baik,” tambahnya lagi.
Belanjawan kali ini katanya, memperuntukkan RM70 juta untuk membekalkan televisyen pintar kepada 10,800 kelas prasekolah, TASKA dan TABIKA di seluruh negara.
Menurutnya, inisiatif ini pasti akan meningkatkan literasi digital pelajar.
Malah katanya, peruntukan ini akan memberi manfaat kepada murid- murid prasekolah, TASKA dan TABIKA khusus di luar bandar Sarawak yang sekarang ini tidak mempunyai fasiliti berkenaan.
Beliau sekali lagi menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan kerana memberi insentif kepada nelayan melalui elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan termasuk insentif hasil tangkapan di samping turut mengekalkan harga subsidi diesel kekal RM1.65 seliter.
