Yang di-Pertua Negeri tampil berjuang pertahankan hak Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar lambang penyatuan bagi seluruh masyarakat majmuk di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Pehin Sri juga merupakan figura kebapaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Menyingkapi kembali kerjaya awam Tun, katanya tidak dapat dinafikan Tun telah menabur banyak jasa untuk mempastikan Sarawak selamat daripada ancaman bersenjata pihak musuh.

Katanya, semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari 2015 hingga 2018, Tun telah membantu dalam pembinaan kuil dan gereja di kawasannya.

“Pada era ini Tun tampil berjuang untuk mempertahankan hak Sarawak dan memastikan maruah dan kedaulatan wilayah ini tetap terjaga seperti yang diimpikan oleh para pemimpin terdahulu
yang memetrai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain Sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini, malam tadi.

Tun bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir dalam majlis yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, menyerlahkan perpaduan rakyat di Sarawak.

Menurut Abang Johari, usaha ini mencerminkan keprihatinan Tun untuk menyantuni rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Sarawak.  

Tambah beliau, sikap kesederhanaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah amat terserlah apabila tanpa segan mengunjungi pasar-pasar dan menikmati sarapan di kopitiam Cina untuk beramah mesra dengan rakyat biasa.

“Beliau menunjukkan sifat rendah diri yang tinggi walaupun memegang jawatan tertinggi dan respons daripada rakyat mengenai sikap baik hati beliau amat positif dan mengagumkan,” tambahnya.

Majlis itu menyaksikan ketua-ketua agama terdiri daripada agama Hindu, Sikh, Tao, Buddhist, Kristian dan Baha’i menitipkan doa mengikut kepercayaan masing-masing kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi khususnya, serta kemakmuran Sarawak secara amnya.