KUCHING: Sarawak kini muncul sebagai peneraju ekonomi digital baharu di rantau ini apabila kerajaan negeri giat memacu pembangunan berasaskan inovasi, teknologi dan kelestarian untuk menjana pertumbuhan masa depan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif berterusan kerajaan negeri itu turut melibatkan peningkatan infrastruktur teknologi melalui pembinaan pusat data, menara komunikasi dan rangkaian fiber optik di seluruh negeri.
Menurutnya, langkah tersebut membuka peluang lebih luas kepada rakyat, khususnya generasi muda, untuk terlibat secara aktif dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), teknologi hijau, e-dagang dan pertanian pintar berasaskan inovasi.
“Aspirasi kita ialah agar rakyat Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi juga pencipta nilai dalam ekonomi digital,” katanya semasa berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari menegaskan, Sarawak telah mengorak langkah besar dalam bidang teknologi dengan matlamat menjadi peneraju dalam industri semikonduktor dan AI.
“Baru-baru ini, saya mengetuai delegasi ke London bagi memperkukuh kehadiran Sarawak di peringkat antarabangsa dalam penghasilan cip berteknologi tinggi. Dengan kepakaran dan bakat anak Sarawak sendiri, kita telah berjaya menghasilkan cip Gallium Nitride (GaN) yang berupaya menyimpan data dalam keadaan voltan dan suhu yang ekstrem,” katanya.
Beliau menjelaskan, melalui Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor, negeri ini turut menubuhkan sebuah makmal penyelidikan di Cardiff, Wales, United Kingdom, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik dengan Compound Semiconductor Applications (CSA) Catapult) agensi inovasi semikonduktor sebatian yang disokong oleh Kerajaan British.
Katanya, peluang untuk menceburi bidang penghasilan cip mikroelektronik merupakan pencapaian besar bagi Sarawak kerana sektor itu kini menjadi antara komoditi paling penting dan bernilai tinggi di dunia, seiring kemajuan pesat teknologi AI dan mikroelektronik.
“Pembangunan dalam bidang semikonduktor dan AI ini memperkukuh agenda ekonomi digital Sarawak, di mana teknologi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan baharu yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Dengan ekosistem digital yang semakin kukuh, Abang Johari yakin Sarawak akan terus menerajui ekonomi berasaskan inovasi dan melangkah ke hadapan sebagai pemain global dalam bidang teknologi.
