Majlis jamuan negeri sempena hari lahir TYT Sarawak penuh istiadat, meriah

KUCHING: Majlis Jamuan Negeri bagi meraikan Hari Kelahiran Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada malam tadi.

Ketibaan Tun Pehin Sri bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta anakanda beliau, Dayang Norjihan.

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian Zapin Melayu Sarawak seliaan Majlis Seni Sarawak (MSS) mempamerkan kehalusan budaya dan nilai tradisi masyarakat Melayu negeri ini.

Selesai persembahan, majlis diteruskan dengan bacaan doa Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi memohon kesejahteraan dan keberkatan kepada Tun sekeluarga.

Acara kemuncak pula menyaksikan upacara pemotongan kek Hari Kelahiran Tun disaksikan oleh Toh Puan, Premier Sarawak serta tetamu kehormat.

Majlis turut menayangkan video khas yang merakamkan perjalanan hidup, jasa dan dedikasi Tun dalam menyantuni rakyat serta peranan besar beliau dalam memperkukuh kedudukan Sarawak, khususnya melalui usaha berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Suasana malam semakin meriah dengan persembahan artis tempatan seperti Bob Yusuf, Jali, Nur Hijrah Yahya dan Mal Imran.

Pertunjukan bunga api menutup tirai malam penuh makna itu dalam suasana meriah dan penuh penghormatan.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta tetamu kenamaan lain. – UKAS