KUALA LUMPUR: Kesahihan penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar dibawa ke Mahkamah Antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB).
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, sudah 62 tahun MA63 tidak ditunaikan dan tidak dilaksana sepenuhnya, maka ini bermakna perjanjian ini telah dilanggar, dinodai dan tidak dihormati oleh kepimpinan Malaya dan badan berkanun Persekutuan.
“Maka wajarlah kesahihan penubuhan negara Malaysia dibawa ke Mahkamah Antarabangsa dan PBB untuk menentukan keabsahan penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan Malaysia 2026 di Parlimen di sini, hari ini.
Willie juga berkata, referendum harus dilaksanakan di Sabah dan Sarawak demi keadilan bagi keduanya.
“Kemelut ini tidak boleh dibenarkan berlarutan kerana saya khuathir tragedi hitam seperti di Nepal dan Indonesia bakal terjadi dalam negara kita,”tambahnya.
Maka dengan itu, katanya demi mengelakkan tragedi hitam ini berlaku dalam negara kita, Sabah dan Sarawak wajib diberi keadilan sejati, MA63 wajib ditunaikan mengikut keluhuran perlembagaan dan lunas undang-undang.