PAKAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh hak pemilikan tanah rakyat melalui pelaksanaan pengukuran secara lot individu di bawah Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah in Ali Hasan, program yang dilaksanakan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) itu dilaksanakan berdasarkan permohonan yang diluluskan.
Selain itu, kawasan yang disukat secara perimeter serta diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) memerlukan kerjasama daripada penuntut tanah terlibat.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan proses pengukuran tanah NCR ini dilaksanakan secara menyeluruh di semua bahagian dan kawasan. Ia melibatkan kaum bumiputera yang mempunyai hak adat sah ke atas tanah mereka.
“Selagi ada bukti sahih dan mengikut perundangan bahawa tanah tersebut adalah tanah NCR, kerajaan akan memastikan hak rakyat terbela melalui proses pengukuran dan pewartaan telus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kawasan Jalan Pakan–Sesco/Pakan–Entabai, Sarikei yang diadakan di Rumah Jetphare Anak Empali, Pakan hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh hadir sama.
Menurut Awang Tengah, sejak pelaksanaan peringkat pertama pengukuran NCR pada 2010 hingga 30 September 2025, JTS berjaya menyukat secara perimeter kawasan seluas 1,217,766 hektar di seluruh negeri.
Beliau menggesa penuntut tanah agar memberi kerjasama kepada JTS bagi memastikan proses pengukuran berjalan lancar.
Sebanyak 112 surat hak milik tanah diserahkan kepada 90 penerima.
