TYT beri penghormatan terakhir mendiang ibu Timbalan Premier

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ibu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kiu Hian, Datin Amar Lim Su Kheng di Kenyalang Park di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri dan isteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada Dr. Sim dan isteri, Dato Enn Ong Siok Ean, adik beliau Sim Kui Lian, serta anak-anak, Eason dan Simson, bersama ahli keluarga terdekat.

Yang di-Pertua Negeri dan isteri berkunjung ke kediaman Dr. Sim sejurus menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri pagi tadi.

Keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri dan isteri disambut dengan penuh hiba dan hormat oleh Dr. Sim dan isteri.

Yang di-Pertua Negeri dan isteri turut meluangkan masa bersama keluarga mendiang bagi menyampaikan ucapan takziah secara peribadi.