LIMBANG: Kira-kira 70 peratus daripada lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan setiap tahun di negara ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, mangsa terkorban itu berusia di antara 16 hingga 35 tahun.
Berdasarkan data Polis DiRaja Malaysia (PDRM), di Limbang, sebanyak 165 kes kemalangan telah direkodkan pada 2024, dengan lapan kes kematian dilaporkan, katanya pada Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 Peringkat Parlimen P.221 Limbang Tahun 2025 di Dewan Suarah di sini, pada Ahad.
Melihat kepada angka tersebut, beliau mahu penekanan terhadap keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti setempat dipertingkatkan.
Pada program itu seramai 1,115 peserta selesai melalui proses tapisan, bagi Program MyLesen B2 Peringkat Parlimen Limbang.
Beliau menasihati penunggang motosikal supaya lebih berhemah dan berilmu tentang undang-undang semasa berada di jalan raya.
Hadir sama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Dato’ Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.
