Asfia dilantik semula Speaker DUN Sarawak

KUCHING: Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi penggal ke-10, berkuat kuasa dari 16 November 2025 hingga 15 November 2027.

Istiadat angkat sumpah disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Menurut kenyataan DUN Sarawak hari ini, majlis tersebut turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, barisan kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker DUN Sarawak serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Pelantikan ini menjadikan kedudukan Mohamad Asfia sebagai Speaker paling lama berkhidmat di Malaysia, setelah mula menyandang jawatan tersebut pada 15 November 2000.

Tempoh perkhidmatan beliau yang berterusan untuk lebih dua dekad menjadikan beliau antara tokoh legislatif paling berpengalaman dalam sejarah pentadbiran negara.

Dari segi kelayakan profesional, Mohamad Asfia merupakan lulusan Bachelor of Laws dari Leeds University, England, dan pemegang kelayakan Barrister-at-Law dari Inner Temple, London.

Beliau turut memiliki kelulusan pascasiswazah dalam Pengurusan Pelabuhan dan Perkapalan dari University of Wales, Cardiff.

Mohamad Asfia memulakan kerjaya sebagai Penasihat Undang-Undang Perbadanan Kemajuan dan Perindustrian Kayu Sarawak (1974–1976) sebelum berkhidmat sebagai Peguamcara dan Peguambela dari tahun 1976 hingga 2000.

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan penting dalam sektor korporat dan media termasuk Pengerusi Interfinance Berhad (1980–1991) serta Ketua Pengarang The Sarawak Tribune (1990–2000).

Dalam arena politik dan pentadbiran negeri, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Kuala Rajang dan Serdeng/Semop, serta menyandang jawatan Timbalan Speaker DUN Sarawak (1995–2000) sebelum pelantikan sebagai Speaker.

Sejak tahun 2002, beliau turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Parti PBB.

Pelantikan semula bagi penggal ke-10 ini mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kepimpinan, pengalaman dan komitmen berterusan Mohamad Asfia dalam menerajui institusi perundangan tertinggi Sarawak. – UKAS