Sarawak jadi pemangkin usaha capai matlamat sifar sisa

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa, 2025 diperkenalkan bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa di Sarawak melalui penubuhan sebuah entiti khas yang bertanggungjawab mengawal selia semua jenis sisa secara bersepadu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Shafiee Ahmad berkata, RUU ini menetapkan standard bagi pengasingan, pemprosesan dan pelupusan sisa, selain memperjelas peranan PBT, Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) dan NREB dalam sistem kawal selia yang lebih teratur.

“Ia turut memperkenalkan pelesenan ketat serta tindakan terhadap pelupusan haram bagi memastikan pematuhan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Beliau menambah, pelaksanaannya dijangka memacu ekonomi hijau melalui pembangunan industri kitar semula bernilai tinggi, mengurangkan kos tapak pelupusan serta membuka peluang pekerjaan baharu.

RUU tersebut katanya, turut memperkukuh autonomi Sarawak dalam pengurusan alam sekitar serta menggalakkan inovasi, termasuk pembangunan pusat pemulihan bahan (MRF) dan pelaksanaan skim Extended Producer Responsibility (EPR).

“Kerajaan menekankan keperluan meningkatkan kapasiti pengurusan sisa serta memperluas pendidikan pengguna bagi memastikan dasar ini berkesan di peringkat pelaksanaan. Sarawak yakin RUU ini menjadi pemangkin kepada usaha mencapai matlamat sisa sifar,” katanya.