Ekonomi pesat Sarawak tarik anak tempatan kembali berkhidmat

KUCHING: Perkembangan pesat ekonomi Sarawak kini membuka peluang baharu yang mendorong golongan profesional tempatan yang bekerja di luar negeri untuk kembali menabur bakti di tanah air.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertumbuhan ekonomi yang rancak membolehkan sektor-sektor utama menawarkan pakej gaji yang setara dengan kelayakan serta kepakaran tenaga kerja berpengalaman.

“Usaha meningkatkan kapasiti ekonomi negeri turut dipacu melalui pembangunan industri berteknologi tinggi termasuk semikonduktor, pertanian moden berasaskan automasi dan perkhidmatan seperti kewangan,” katanya ketika sesi dialog pada program Leadership Soiree Dinner (Sarawak Woman of Tomorrow 2025) yang berlangsung di sini malam tadi.

Menjelaskan lebih lanjut, Abang Johari berkata tarif industri yang kompetitif mampu menarik pelaburan baharu, sekali gus merancakkan aktiviti pengeluaran dan membuka ruang pekerjaan.

Selain itu katanya, pembangunan projek Transit Aliran Autonomi (ART) turut menarik minat rakyat Sarawak yang sebelum ini terlibat dalam pembangunan sistem LRT di luar untuk pulang menyertai projek negeri sendiri.

Beliau menambah, agenda urbanisasi turut menggalakkan penyertaan profesional dalam sektor swasta yang semakin memerlukan kepakaran khusus.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri memperkenalkan dasar visa kerja lima tahun untuk tenaga kerja bukan berasal dari Sarawak bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.