KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi sedang meneroka salah satu kaedah pelaksanaan projek bekalan air melalui Private Finance Initiatif (PFI) sebagai salah satu inisiatif mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi berkata, PFI itu untuk pelaksanaan program air bukan mendatangkan hasil (NRW) dan Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di luar bandar.
MUT bersama Peiabat Setiausaha Kewangan Negeri dan agensi bekalan air, kini sedang meneliti kaedah pelaksanaannya, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan projek bekalan air secara agresif dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak sendiri sebanyak RM4.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RKMe-12) dan Pembiayaan Alternatif.
Projek bekalan air itu selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, katanya dan menambah, pada masa sama, Kerajaan Sarawak meluluskan RM1.1 bilion untuk menaik taraf dan menggantikan paip uzur sepanjang 2,740km di seulruh negeri dari tahun lalu untuk jangka masa lima tahun.
Beliau memberitahu dewan, ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menangani masalah bekalan air yang dihadapi rakyat.
“Kementerian dan agensi bekalan air sentiasa berusaha melaksanakan segala projek yang dirancang dan diluluskan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menambah, komitmen kerajaan turut dizahirkan melalui peruntukan Belanjawan 2026 berjumlah RM12.9 bilion.
Beliau berkata, liputan bekalan air di kawasan luar bandar kini telah mencapai 71 peratus (%) berbanding 61.9% pada 2018
Katanya, di kawasan bandar pula, kadar liputan adalah 99%, menjadikan purata liputan keseluruhan di Sarawak kini pada tahap 85.6%.
Manakala bagi bekalan elektrik, katanya, Sarawak kini hampir mencapai liputan penuh bagi bekalan elektrik luar bandar, tetapi terdapat beberapa kawasan di mana projek infrastruktur elektrik belum dapat dilaksanakan disebabkan beberapa kekangan.
Kapasiti penjanaan elektrik di Sarawak adalah sebanyak 5,898 Megawatt kerbanding permintaan bekalan elektrik terkini sebanyak 4,712 megawatt (mt) dan kapasiti penjanaan ini mencukupi untuk keperluan domestik termasuk bekalan elektrik ke luar bandar, tegasnya.
Untuk liputan telekomunikasi, beliau berkata, setakat ini, Sarawak mempunyai 4,696 struktur menara (termasuk struktur telekomunikasi di atas bangunan) telah beroperasi sepenuhnya dan liputan internet berdasarkan kawasan penempatan mencapai 94.5% berbanding dengan 90.2% seperti yang telah dilaporkan pada persidangan DUN lalu.
