BANGKOK: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Sarawak akan menjadi tuan rumah Pameran dan Persidangan Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) pada 2026 dan Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (WWCE) 2028.
Beliau berkata, kedua-dua persidangan bertaraf antarabangsa itu akan mengumpulkan pakar dan pemain industri perngkat global.
“Persidangan ini akan berfungsi sebagai platform global terkemuka yang menghimpunkan pakar-pakar terkemuka, pembuat dasar dan pemimpin industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran yang muncul, berkongsi amalan terbaik dan memajukan inovasi dalam sektor air dan air sisa,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pleno pada Kongres & Pameran Air dan Pembangunan IWA 2025 (WDCE 2025) di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit, Bangkok di sini hari ini.
Ia juga akan menyediakan peluang kepada rakan kongsi global untuk membentuk generasi akan datang dalam daya tahan air dan tadbir urus sumber, katanya.
Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Eksekutif IWA Dr Kala Vairavamoorthy, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang.
Untuk rekod Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa 2028 selepas membida acara itu di Bordeaux, Perancis pada 2023.
Kongres berkenaan dijangka menarik seramai 10,000 peserta dari 80 negara, sekali gus bakal meletakkan Sarawak sebagai sebuah hab dalam industri air sejagat.
