DARO: Penguasaan ilmu teknologi dan kemahiran digital dalam kalangan pemimpin masyarakat perlu bagi memastikan urusan pentadbiran di peringkat akar umbi dilaksanakan secara tersusun, telus dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, KMKK dan JKKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat setempat dalam penyampaian maklumat, pembangunan komuniti serta kebajikan rakyat.
“Pemimpin masyarakat perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, termasuk dalam bidang teknologi selaras dengan perkembangan semasa, terutama penyediaan laporan, pengurusan data serta penyampaian maklumat kepada pihak berwajib,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penangguhan Bengkel Pemantapan Kepimpinan KMKK serta Setiausaha JKKK Daerah Daro dan Matu Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Daro, semalam.
Katanya, bengkel seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan kepimpinan dan pentadbiran, malah memperkukuh kefahaman barisan hadapan terhadap dasar serta hala tuju Kerajaan Sarawak.
Beliau memaklumkan program sama diadakan di kawasan DUN Daro melibatkan Daerah Sibu dan Daerah Meradong, manakala penganjuran di Daerah Daro serta Matu.
Dr Safiee turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Daerah Daro bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan di daerah itu.
