Dewan Kampung Tabuan Hilir dinama Dewan Datuk Dr Hazland

KUCHING: Kerja pembinaan dewan serbaguna Kampung Tabuan Hilir di sini siap sepenuhnya dan kini ia boleh digunakan bagi mengadakan pelbagai aktiviti.

Dewan yang dianggarkan berharga RM500,000 itu telah mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan. Ia mampu memuatkan kira-kira 300 penduduk dalam satu masa.

Dengan dewan ini, di Kampung Tabuan Hilir akan dapat mengadakan pelbagai aktiviti dan majlis keramaian secara lebih selesa dan teratur.

Pemimpin masyarakat dan penduduk di Kampung Tabuan Hilir bersetuju dan sepakat menamakan dewan itu sebagai Dewan Datuk Dr Hazland.

Nama Datuk Dr Hazland dipilih sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar dan ADUN N.5 Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni yang sentiasa berusaha membangunkan kawasan Demak Laut ternasuk usaha membangunkan dewan di Kampung Tabuan Hilir.

Upacara perasmian Dewan Datuk Dr Hazland dirasmiikan oleh Dr Hazland dalam majlis ringkas tetapi meriah hari ini.

Berucap pada majlis itu, Dr Hazland berkata, pembinaan dewan ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi merupakan lambang kemajuan dan semangat muafakat masyarakat Kampung Tabuan Hilir.

Katanya, dewan ini akan menjadi pusat pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk program belia, pendidikan, ekonomi, kebudayaan, keagamaan, sukan , mesyuarat, serta majlis-majlis rasmi penduduk.

“Saya berharap dewan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh masyarakat di Kampung Tabuan Hilir dan menjadikan ia sebagai medan penyatuan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.

“Dewan ini adalah aset bersama, dan amanah ini terletak di bahu kita semua agar ia terus memberi manfaat kepada generasi hari ini dan masa akan datang,” katanya.