Program Berkhatan hidupkan tradisi berkhatan beramai-ramai

KABONG: Seramai 46 kanak-kanak lelaki menyertai Program Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong di sini, hari ini.

Program itu melibatkan murid lelaki dari lima sekolah rendah Zon Kabong dan dimeriahkan dengan simbolik menyiram mereka dengan air oleh Persatuan Bomba Sukarela Kabong (PBSK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir yang menyempurnakan acara simbolik itu berkata program julung kali dianjurkan itu bukan sahaja menghidupkan semula tradisi berkhatan beramai-ramai, malah membantu meringankan beban kewangan ibu bapa.

“Kaedah berkhatan secara berkumpulan itu selain menjimatkan masa dan kos, ia memperkukuh nilai kebersamaan serta kesinambungan tradisi dalam komuniti,” katanya.

Chee Kadir juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk jawatankuasa penganjur, PIBG SK Abang Leman Kabong, Biro Pendidikan Islam Zon Kabong dan Pusat Khidmat DUN N.40 Kabong.