TANJUNG MANIS: Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC) Tanjung Manis akan beroperasi sebagai pusat sehenti bagi memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, bangunan pentadbiran setinggi 15 tingkat itu akan beroperasi dalam masa terdekat setelah memperoleh Sijil Menduduki (OP), sekali gus menandakan ia kini sedia untuk diduduki dan beroperasi.
“Penyerahan sijil ini membuktikan bahawa bangunan ini siap sepenuhnya dan boleh digunakan.
“Perbincangan serta mesyuarat juga telah diadakan, dan beberapa agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Tanjung Manis akan berpindah ke sini dalam masa terdekat,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Tanjung Manis, hari ini.
Menurut beliau, bangunan moden itu akan menempatkan pelbagai agensi utama Kerajaan Sarawak antaranya Pejabat Daerah Tanjung Manis, Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) selain kaunter pembayaran bil elektrik dan air serta Sarawak Service.
“Apabila semua agensi ini dipusatkan di satu lokasi yang strategik dan lengkap, rakyat tidak perlu lagi berulang-alik ke tempat berbeza untuk mendapatkan perkhidmatan.
“Sudah semestinya ia akan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” jelas beliau.
Menurutnya, pusat pentadbiran ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan penjawat awam, khususnya di luar bandar, dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih kondusif, selesa dan efisien, sekali gus membolehkan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat.
Tambah beliau, pembangunan pusat pentadbiran seperti ini bukan hanya dilaksanakan di Tanjung Manis, malah turut dirancang di kawasan lain di seluruh Sarawak selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Pada majlis sama, beliau bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh menyaksikan penyerahan OP oleh kepada PUSAKA sebelum diserahkan kepada Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak.
Sementara itu, Len Talif merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas penyediaan kemudahan pentadbiran yang lengkap dan selesa bagi daerah Tanjung Manis.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak atas kesudian melawat daerah tersebut sekali gus membantu mempercepatkan proses operasi Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Tanjung Manis.
