CoPER mekanisme tingkatkan kualiti kontraktor Sarawak

KUCHING: Laporan Penilaian Prestasi Kontraktor (CoPER) akan terus diperkukuh dan ditambah baik sebagai mekanisme bagi meningkatkan prestasi kontraktor serta memperkasakan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perolehan kerajaan negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, CoPER merupakan sistem penilaian prestasi kontraktor yang dibangunkan sejak 2014 dan dilaksanakan pada 2015 bagi Kategori Kerja, sebelum diperluaskan pada 2018 untuk merangkumi Kategori Bekalan dan Perkhidmatan serta Kategori Perunding.

“CoPER perlu dilihat sebagai tunjang utama tadbir urus yang baik dalam proses pemilihan serta pengurusan perunding dan kontraktor.

“Sistem CoPER menilai prestasi kontraktor berdasarkan pelaksanaan projek yang merangkumi aspek kualiti kerja, pematuhan spesifikasi, keselamatan serta keberkesanan keseluruhan penyampaian projek,” katanya semasa merasmikan Bengkel CoPER di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.

Uggah berkata, penganjuran bengkel ini bukan sekadar latihan prosedur, sebaliknya satu inisiatif strategik untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek serta memastikan sumber awam diurus secara profesional dan berakauntabiliti.

Tegasnya, pelaksanaan sistem ini turut bertujuan mengenal pasti kontraktor berprestasi tinggi, selain membolehkan tindakan susulan diambil terhadap kontraktor yang memerlukan pemantauan rapi, sekali gus memperkukuh tahap ketelusan dalam perolehan kerajaan negeri.

Seiring dengan perkembangan industri, kriteria penilaian CoPER sentiasa melalui proses penambahbaikan bagi memastikan sistem ini kekal relevan, adil dan selari dengan piawaian semasa, di samping menyokong aspirasi Sarawak ke arah pembangunan ekonomi yang mampan, tambah beliau.

“Bagi memastikan CoPER berfungsi dengan berkesan, pelaporan yang tepat dan menepati masa amat penting. Semua agensi kerajaan perlu mengemas kini prestasi perunding dan kontraktor secara konsisten bagi menyediakan data yang boleh dipercayai di seluruh Sarawak.

Bengkel dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak menerusi Bahagian Perolehan, Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ), dari 22 hingga 23 Januari disertai seramai 160 peserta daripada pelbagai jabatan teknikal dan agensi kerajaan.