KUCHING: Peranan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) amat signifikan dalam membangunkan belia berkualiti dan perpaduan kaum menerusi sukan di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata meskipun sektor kementerian ini tidak memberi pulangan yang banyak kepada pembangunan ekonomi negeri, namun peranannya dalam membentuk belia yang akan menjadi pewaris tampuk kepimpinan negeri ini pada masa hadapan tidak dapat dinafikan.
“MYSED memberi pulangan berbeza daripada kementerian lain kerana kementerian ini kalau diatur dengan sebetulnya akan menjadi sebuah kementerian yang memberi impak kerana di sinilah kita menjaga belia, inilah kementerian yang selalu dilihat orang ramai.
“Kerana kita tahu, tampuk kepimpinan yang ada sekarang akan diambil alih oleh belia hari ini, dan sebab itulah kalau kita tidak acuankan, kalau kita tidak aturkan belia kita dengan betul, apa yang kita dapat pada masa hadapan akan bermasalah,” ujar beliau.
Berucap pada Majlis Kesinambungan Budi MYSED, di sebuah hotel di sini, malam tadi, beliau menambah, sektor sukan yang dijaga oleh kementeriannya turut menjadi wadah penyatuan kaum di Sarawak sepertimana yang diserlahkan dalam penganjuran beberapa sukan berskala besar di negeri ini beberapa tahun lalu.
Majlis pada malam itu turut menyaksikan seramai 36 kakitangan MYSED diraikan, di mana seramai 24 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, tujuh l pesara dan lima kakitangan MYSED yang berpindah tempat bertugas.
