KUCHING: Sarawak menolak budaya politik yang memecah-belahkan rakyat demi kuasa, kerana negeri itu telah lama membuktikan bahawa kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama adalah asas sebenar kemajuan.
Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam kenyataan hari ini berkata, pada masa sama Sarawak turut memfokus kepada pembangunan rakyatnya.
“Di Sarawak, kestabilan bukan slogan, ia adalah prinsip yang dipertahankan dan dilaksanakan. Inilah sebabnya Sarawak terus maju, aman dan bersatu.
“Sarawak tidak pernah berganjak daripada komitmennya kepada Malaysia. Namun, komitmen itu tidak bermakna Sarawak harus berdiam diri apabila hak, maruah dan kedudukannya terus dipersoal dan diputarbelit,” kata pergerakan itu.
Pergerakan Pemuda berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti PBB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang menggesa Tanah Melayu supaya belajar daripada formula Sarawak.
Menurut pergerakan itu lagi, hakikatnya, seruan ini bukanlah sindiran kosong, tetapi
teguran berasaskan realiti.
Pergerakan itu menegaskan bahawa naratif anti-Sarawak yang semakin galak disebarkan pihak berkepentingan tertentu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berbahaya kepada semangat Persekutuan.
“Jangan salah tafsir pendirian kami. Sarawak tidak merendahkan Tanah Melayu. Tetapi Sarawak juga tidak akan tunduk kepada sikap angkuh, pandangan sempit dan retorik yang menafikan realiti federalisme.
“Jika ada yang enggan belajar daripada kejayaan Sarawak, itu adalah kegagalan mereka sendiri, bukan kegagalan Sarawak,” tambah kenyataan itu.
Mengulas lanjut, kata kenyataan itu lagi, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melaksanakan dasar inklusif yang melindungi semua komuniti tanpa
mengira kaum dan agama.
“Ini bukan retorik politik, tetapi rekod pencapaian. Model ini wajar dicontohi, bukan diperkecilkan,” tambahnya.
