KUCHING: Seramai 211 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun akan menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SEAYP) edisi ke-50 yang dijadual berlangsung di sini pada Januari 2027.
Program berprestij itu melibatkan penyertaan belia dari 10 negara ASEAN termasuk Malaysia, Jepun serta negara rakan lain.
Pemilihan Kuching sebagai destinasi pelabuhan persinggahan merupakan satu penghormatan kepada Kerajaan Sarawak kerana ini adalah kali pertama bandaraya tersebut dipilih sebagai lokasi persinggahan program SEAYP di Malaysia.
Selain Kuching, program berkenaan turut singgah di Kemboja dan Filipina sepanjang edisi 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut untuk memberi pendedahan kepada golongan belia tempatan berinteraksi bersama belia asing.
“Ini terutama belia dari negara-negara Asia Tenggara, sekali gus menggalakkan pertukaran budaya, idea dan pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBS) Azura Abidin di sini hari ini.
Sementara itu, Azura berkata program SEAYP diilhamkan oleh Kerajaan Jepun dan hasil kerjasama jangka panjang antara Malaysia dan Kerajaan Jepun sejak tahun 1974 serta melibatkan penyertaan negara-negara ASEAN.
