Talian kecemasan 15999 terima peningkatan panggilan – Nancy

KUCHING: Kerajaan menyediakan talian kecemasan 15999 yang berperanan penting sebagai saluran perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, talian kecemasan terbabit juga menerima peningkatan panggilan.

“Peningkatan panggilan diterima menunjukkan tahap kesedaran awam semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan Program PERANTIS dan Pameran Dayung Warisan di Old Court House, di sini, hari ini.

Nancy berkata demikian ketika mengulas kes dera kanak-kanak di Saratok yang masih dalam siasatan polis. Mangsa dihantar ke Hospital Saratok untuk tujuan rawatan dan pemeriksaan doktor.

Menurutnya, selain itu kerajaan terus memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu penderaan melalui program pendidikan berterusan.

Pada masa sama katanya, program kesedaran ini diperluaskan ke sekolah, pusat aktiviti kanak-kanak dan komuniti setempat.

“Ini termasuk pendedahan berkaitan penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital,” tambahnya.

Di samping itu, katanya kerajaan turut memastikan perkhidmatan kebajikan terus berjalan lancar dengan penambahan petugas, sementara proses penyelarasan struktur dan perundangan berkaitan sedang diteliti.

Turut hadir Pengarah Program, Dayung Young Heritage Leaders Steffany Raymond Landong, Timbalan Pengarah JKM sarawak (Persekutuan) Mohd Ali Taib, Setiausaha Politik kepada Menteri Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie dan Ahli Majlis Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita, Dato Angelina Celestine Ujang serta Datu Dr Rashidah Bolhassan.