SUKMA: Sarawak sasarkan ulangi kejayaan

SIMANGGANG: Sarawak meletakkan sasaran jelas untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di Selangor Darul Ehsan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sasaran tersebut merupakan cabaran besar memandangkan SUKMA 2026 melibatkan penganjuran di sembilan daerah di Selangor serta satu daerah di Negeri Sembilan bagi acara berbasikal.

“Kejayaan amat bergantung kepada komitmen tinggi atlet-atlet terpilih, pengurus pasukan serta persatuan sukan.

“SUKMA mempertandingkan sebanyak 37 acara berbanding hanya 11 acara pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) edisi ke-IV 2026.

“Harapan kita agar semua pihak memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan Sarawak mampu mengulangi kejayaan dan muncul juara keseluruhan sekali lagi di SUKMA Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan majlis penangguhan SUKSAR edisi ke-IV 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim menegaskan, penganjuran SUKMA 2026 menuntut perancangan logistik yang rapi, penyelarasan pasukan yang berkesan serta pengurusan operasi yang lebih kompleks.

Sehubungan itu, persediaan awal amat penting bagi memastikan atlet Sarawak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi pertandingan.

Beliau turut menggariskan beberapa tarikh penting dalam persiapan ke arah SUKMA Selangor 2026, iaitu proses penyertaan sukan dari 1 hingga 14 November 2025, penyenaraian senarai panjang kontinjen dari 2 Januari hingga 13 Februari 2026, serta penyenaraian senarai pendek kontinjen dari 1 Jun hingga 3 Julai 2026.