Tanjung Datu lokasi pilihan sumbangan bakul makanan Petronas

LUNDU: Seramai 250 keluarga daripada golongan memerlukan di kawasan Tanjong Datu menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Sumbangan itu diagihkan menerusi program Petronas Memacu Kehidupan di Dewan Masyarakat Daerah Lundu, di sini.

Majlis berlangsung dalam suasana muhibah menyaksikan kolaborasi di antara Petronas dan kepimpinan tempatan untuk menjaga kebajikan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan merakamkan penghargaan kepada Petronas kerana memilih kawasan tersebut sebagai lokasi program dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan sempena perayaan lain.

Lundu merupakan salah satu daripada 45 daerah menjadi lokasi pilihan Petronas untuk program tersebut.

Program itu mencerminkan komitmen menjaga kebajikan komuniti selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) yang menekankan prinsip tiada siapa yang ketinggalan.

Majlis berkenaan turut dihadiri wakil Petronas, pegawai daerah serta pemimpin masyarakat setempat.