SIMANGGANG: Kontinjen Zon Utara muncul juara keseluruhan pada Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ke-IV 2026 selepas majlis penangguhan di sini, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Zon Utara mendominasi carta pingat dengan 39 emas, 37 perak dan 32 gangsa, sekali gus mengesahkan keunggulan kontinjen berkenaan sepanjang temasya dwitahunan itu.
Zon Selatan mengekori di tempat kedua dengan kutipan 30 emas, 28 perak dan 24 gangsa, manakala Zon Barat menduduki tempat ketiga dengan 19 emas, 14 perak dan 37 gangsa.
Sementara, Zon Tengah menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan.
Sementara itu, dua atlet berbasikal mencuri tumpuan apabila Zhen Xiang Kenny Lim dan Nur Ain Ramadhania Abdullah masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan SUKSAR IV 2026.
Nur Ain Ramadhania Abdullah dari Zon Barat meraih empat pingat emas dalam acara berbasikal wanita termasuk Women Criterium, Individual Time Trial, Individual Road Race dan Team Road Race, sekali gus membuktikan bakat muda berpotensi besar.
Zhen Xiang Kenny Lim dari Zon Selatan pula menjuarai acara berbasikal lelaki dengan empat pingat emas, termasuk Individual Road Race, Team Road Race, Individual Time Trial dan Team Time Trial, menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
Majlis penangguhan SUKSAR IV 2026 disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, menandakan berakhirnya temasya sukan berprestij ini.
SUKSAR IV 2026 melibatkan 1,093 peserta termasuk atlet, pegawai, kakitangan sokongan dan sukarelawan dari seluruh Sarawak, dengan 11 jenis sukan dipertandingkan dan 345 pingat ditawarkan.
Dari segi lokasi, Sri Aman menjadi tuan rumah acara bola keranjang, petanque, pingpong, softball dan tinju, manakala Betong menempatkan angkat berat, berbasikal, bola jaring dan taekwondo.
Lubok Antu pula menjadi venue acara karate dan sepak takraw.
