KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan mengabaikan penyelenggaraan jalan persekutuan di Sarawak dan Sabah.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata ini kerana sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menyelenggara jalan persekutuan di Sarawak di bawah program memperkasa kontraktor bumiputera G1-G4 tahun 2026.
Katanya, ini berbanding hanya sebanyak RM50 juta peruntukan di bawah program terbabit pada 2025.
“Peningkatan ini adalah sebanyak 300 peratus dan ia jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap Sarawak dan Sabah yang sebelum ini menerima peruntukan lebih kecil bagi tujuan penyelenggaraan jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi di Bawah Program Mempercepatkan Penyelenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor Bumiputera G1-G4 Tahun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini.
Nanta berkata, peruntukan RM200 juta terbabit melibatkan sebanyak 141 kerja penyelenggaraan, merangkumi 95 kerja Berkala ‘Pavement’ bernilai RM174.6 juta dan 46 kerja Berkala Bukan ‘Pavement’ bernilai RM25.4 juta.
Tambahnya, seramai 385 kontraktor kecil tempatan khususnya kelas G1 hingga G4 yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terlibat program itu tahun ini.
“Saya berbangga kerana berjaya mendapatkan peruntukan yang besar untuk Sarawak dan Sabah demi memastikan jalan raya lebih selamat dan selesa untuk pengguna,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua kontraktor agar melaksanakan kerja dengan penuh integriti dan menepati standard ditetapkan.
