SIMANGGANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bangga terhadap pencapaian atlet tempatan termasuk kejayaan petinju negara dari Sri Aman, Kilat Boy dan atlet badminton perseorangan dari Miri.
Katanya, atlet terbabit berjaya mencapai kedudukan tinggi di peringkat kebangsaan.
Beliau sehubungan itu mengucapkan tahniah kepada semua atlet dan pemenang SUKSAR yang berakhir hari ini.
Beliau berkata demikian semasa Majlis penangguhan SUKSAR IV 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, di sini hari ini.
Abang Johari sehubungan itu memberi jaminan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperkasa pembangunan sukan untuk jangka panjang.
Beliau menegaskan pembangunan ekonomi dan sukan berjalan seiring, malah Sarawak bersedia berkongsi tanggungjawab menaja penganjuran Sukan SEA bersama Kerajaan Persekutuan demi meningkatkan standard sukan anak-anak Sarawak.
“Kita mahu anak Sarawak melihat sendiri standard sukan bertaraf tinggi supaya mereka boleh mengejar dan seterusnya meningkatkan prestasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan menaik taraf venue, stadium dan fasiliti sukan agar dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya oleh sekolah-sekolah, selain menegaskan kemudahan yang dibina tidak wajar dibiarkan tanpa penggunaan.
“Jangan bina stadium tetapi tidak digunakan. Buka kepada sekolah, jangan kenakan caj terlalu tinggi. Kerajaan Sarawak sudah beri peruntukan, gunakanlah kemudahan ini sebaiknya,” tegas beliau.
Beliau berkata, Sarawak antara negeri yang memiliki paling banyak padang dan kemudahan sukan, dibina khusus untuk manfaat golongan muda tanpa perlu bergantung kepada permohonan Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
