Laman sesawang jadi platform SIWA perluaskan capaian

KUCHING: Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) melancarkan laman sesawang persatuan itu, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri yang melancarkan laman sesawang persatuan itu berkata, persatuan berkenaan memberi sumbangan aktif dalam meningkatkan kebajikan, kemahiran serta keyakinan wanita India di Sarawak.

Nancy berkata dalam era digital masa kini, kewujudan dalam talian melalui laman sesawang yang dipercayai dan disahkan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

“Laman sesawang berfungsi sebagai pusat rujukan utama untuk berkongsi maklumat yang tepat,” katanya.

Tambahnya, ini juga untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan serta melindungi masyarakat daripada maklumat palsu dan penipuan.

Menurutnya, inisiatif ini juga selari Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang menekankan aspek literasi digital, keusahawanan dan peningkatan penyertaan wanita dalam ekonomi moden.

Sehubungan itu, beliau berharap laman sesawang ini menjadi platform untuk SIWA memperluas capaian, mempamerkan inisiatif, serta menghubungkan persatuan dengan rakan strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa.