Pendidikan antara aspek keutamaan Parlimen Igan

SIBU: Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Daro menerima sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan.

Sumbangan itu diterima daripada Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi ketika merasmikan Majlis Titian Bakti, Legasi Terpatri bagi meraikan guru besar yang bakal bersara dan berpindah anjuran persatuan itu di sini, semalam.

Ia juga sebagai simbol penghargaan terhadap kepimpinan dan dedikasi pentadbir sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro.

“Pentadbir Guru Besar yang menabur bakti akan terus menjadi kenangan dan legasi yang terpatri. Mereka merupakan permata di sekolah yang mencorak kecemerlangan pendidikan serta membentuk sahsiah murid,” katanya.

Di samping itu, Ahmad Johnie juga menegaskan bahawa aspek pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam perbahasan dan penglibatan beliau di Dewan Rakyat.

Katanya, ini selari dengan usaha memperkasa modal insan dan memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua.