Sektor strategik sasarkan 500,000 pekerja mahir

SARIKEI: Pembangunan tenaga kerja mahir dilihat sebagai keperluan utama bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi bernilai tinggi termasuk tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, ekonomi digital dan pembuatan berteknologi maju.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penglibatan dalam sektor berkemahiran tinggi mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Usaha tersebut selari dengan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai 30 peratus tenaga kerja mahir, melibatkan kira-kira 500,000 pekerja dalam sektor strategik di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Randau Akademi Dalam Industri (ADI) yang berlangsung di Dewan Suarah, di sini, semalam.

Len menambah, sasaran itu turut menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dan bakat tempatan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Tambah Len Talif, ADI merupakan inisiatif strategik yang dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri bagi memberi pendedahan kepada belia dan pencari kerja mengenai pembangunan kemahiran, hala tuju kerjaya serta peluang pekerjaan masa hadapan.