KUCHING: Kerajaan negeri secara prinsip meluluskan pembinaan tambahan sebanyak 60 unit Rumah Spektra Permata (RSP) Santubong di kawasan seluas 6.07 hektar di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 120 unit rumah mampu milik terbabit yang
juga sebahagian perancangan jangka panjang kerajaan negeri.
Ini berikutan siapnya jalan baharu menghubungkan Buntal dan Bako pada hujung tahun ini.
“Dengan siapnya jalan tersebut, kita ada ruang untuk membangunkan projek perumahan di kawasan berdekatan dan di antara jajaran jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan Kunci
RSP Santubong bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Tapak Projek RSP SPK Santubong, di sini, hari ini.
Sebanyak 62 unit rumah di bawah projek SPK Santubong dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) merupakan agensi pelaksana utama projek menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Pembinaan bermula 9 Jun 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan atau 15 Oktober tahun lalu, , dengan kos keseluruhan berjumlah RM17.20 juta.
Abang Johari berkata, dengan siapnya jalan baharu itu, beliau menjangkakan antara 500 hingga 1,000 unit lagi rumah mampu milik boleh ditambah di kawasan Santubong.
Selain itu, mengulas isu pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata kerajaan negeri mencadangkan formula baharu yang berpandukan kepada jumlah hasil cukai yang dikutip dari Sarawak.
“Cadangan kita ialah sekitar 20 peratus daripada pendapatan yang diperoleh dari negeri ini dikembalikan kepada Sarawak,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa peruntukan RM600 juta adalah tidak mencukupi memandangkan negeri turut menanggung pelbagai projek termasuk pembinaan jambatan dan pusat kanser.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Khui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap ADUN Pantai Damai Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Abdul Yakub Arbi dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali.
