Rumah terbuka lambang identiti pelbagai kaum di Sarawak

KUCHING: Penganjuran rumah terbuka perayaan utama anjuran Kerajaan Sarawak terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta menyemai nilai pembinaan bangsa dalam kalangan rakyat negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai peringkat negeri mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keterangkuman yang menjadi teras kekuatan Sarawak.

“Ini adalah Sarawak, pelbagai kaum datang dengan pakaian tradisi masing-masing dan inilah keindahan Sarawak.

“Rumah terbuka bermaksud terbuka kepada semua tanpa perlu jemputan kerana masyarakat dialu-alukan,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Beliau menambah, budaya tersebut merupakan asas penting pembinaan Sarawak yang mana rakyat bersama tanpa mengira latar belakang untuk menjadikan negeri ini tempat yang lebih baik.

Menurutnya, dalam keadaan banyak tempat di dunia berdepan perpecahan, Sarawak menjadi contoh bagaimana masyarakat mampu bergerak maju bersama melalui keharmonian. 

Beliau menjangkakan kira-kira 5,000 pengunjung hadir berdasarkan rekod tahun sebelumnya dengan jumlah berpotensi meningkat berikutan cuaca baik.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah serta isteri Datin Amar Doreen Mayang, barisan Kabinet Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang.