Mesyuarat MA63: Sarawak bangkit isu pelaksanaan dasar kesihatan nasional

KUCHING: Sarawak akan membangkitkan beberapa isu berkaitan pelaksanaan dasar kesihatan nasional dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 minggu depan, bagi memastikan dasar tersebut sesuai dengan keperluan negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menjelaskan bahawa dasar kesihatan peringkat Persekutuan kadang-kadang diterapkan secara menyeluruh tanpa mengambil kira kekangan tenaga kerja dan kepakaran di Sarawak.

“Dasar nasional mungkin sesuai untuk seluruh negara, tetapi kita tidak menerima jumlah tenaga kerja yang mencukupi untuk melaksanakannya di negeri ini. Tanpa sokongan itu, pelaksanaan menjadi sukar,” katanya selepas menyempurnakan Program Agihan Bubur Lambuk bersama komuniti di Kuching, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak akan memohon pengecualian tertentu supaya pelaksanaan dasar lebih praktikal, terutamanya di luar bandar.

“Contohnya, pembantu perubatan di klinik pedalaman kini perlu menjalankan prosedur anestesiologi, tetapi jumlah doktor yang dihantar tidak mencukupi,” katanya.

Selain itu, Dr Sim menekankan keperluan menambah penjawatan di hospital utama negeri yang sudah lama tidak ditambah, serta melonggarkan beberapa syarat kelayakan yang hanya wujud di Semenanjung.

Ini bagi membolehkan tenaga sedia ada digunakan secara optimum, khususnya di kawasan pedalaman.