KUCHING: Perancis berhasrat untuk meneroka peluang pelaburan bersama Sarawak bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama yang berkepentingan bersama.
Ia perkara utama dibincangkan dalam pertemuan Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, hari ini.
Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkasa kerjasama dalam beberapa sektor strategik termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri maritim dan penerbangan, tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas merangkumi aktiviti huluan serta hiliran, selain teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Sektor-sektor ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pengembangan ekonomi digital.
Dalam pertemuan itu, Marc Abensour turut mengiktiraf kedudukan Sarawak yang semakin meningkat sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berteraskan teknologi tinggi dan mampan, disokong oleh sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah serta infrastruktur perindustrian yang kukuh.
Dengan persekitaran politik yang stabil, Sarawak katanya menawarkan keyakinan serta jaminan keselamatan pelaburan untuk jangka masa panjang.
Ini ditambah dengan kedudukan strategik negeri itu di Borneo sebagai pintu masuk ke pasaran komuniti ASEAN yang lebih luas, katanya.
