SERIAN: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dan jabatan di bawahnya komited untuk memastikan golongan berpendapatan rendah menjadi fokus utama untuk dibantu serta tiada yang tersisih.
Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) berada di bawah kementerian berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dari Januari hingga Disember 2025, JKMS menyalurkan perbelanjaan lebih RM299 juta untuk 57,073 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.
Bagi Januari sehingga Februari 2026, PKMB Bintulu menyalurkan perbelanjaan sebanyak lebih RM1.176 juta untuk 2,773 penerima bantuan bulanan, katanya pada majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Serian tahun 2026 di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di sini, semalam.
Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan hadir sama.
Pada majlis itu, seramai 330 daripada 2,773 penerima bantuan yang menyambut Aidilfitri menerima sumbangan daripada kerajaan.
Manakala, pada Majlis Sejambak Kasih, seramai 100 penerima dijemput hadir menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100 beserta sumbangan hamper bernilai RM80
Beliau berkata, bagi 230 penerima yang lain pula akan dikreditkan ke akaun penerima masing-masing.
Kedua-dua program yang dilaksanakan ini katanya, membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak bukan sahaja konsisten membantu golongan memerlukan, malah sentiasa menghargai jasa mereka yang berbakti kepada negeri.
“Inilah komitmen berterusan kita dalam membangun Sarawak secara inklusif, berteraskan kesejahteraan rakyat dan semangat kebersamaan,” tegas beliau.
Fatimah menegaskan, dalam membantu agenda ekuiti, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan ‘whole spectrum and inter-generation asssistance’ untuk membantu wanita, kanak-kanak dan warga emas.
