KUCHING: Sumbangan keseluruhan berjumlah RM15,400 disampaikan kepada penerima di Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 di Masjid Darul Akhirat, Kampung Lumba Kuda, di sini, semalam.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N9 Padungan yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Beliau berkata, sebanyak RM8,000 adalah sumbangan dana tahunan disalurkan kepada Masjid Darul Akhirat, termasuk bagi menampung sebahagian perbelanjaan program terbabit.
“Sumbangan RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lumba Kuda dan Kampung Elis untuk menganjurkan pelbagai aktiviti,” katanya.
Beliau berharap masjid dan JKKK terbabit menggunakan sumbangan dana tahunan itu bagi melaksanakan aktiviti keagamaan dan program kemasyarakatan di kawasan itu yang memberi manfaat kepada penduduk.
Turut disampaikan ialah sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai kepada 20 penerima.
Rodiyah berkata, mereka terdiri daripada golongan ibu tunggal, anak yatim, OKU, asnaf dan mualaf dengan jumlah keseluruhan sumbangan itu sebanyak RM4,400.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB N9 Padungan,Ir. Haidel Heli, Naib Ketua Cawangan Padungan, Mohd Speri Abdul Karim, Ketua Wanitanya, Hairiah Ideris, Ketua Pemuda, Mohd Rassid Hamdan dan tetamu kenamaan lain.
