KUCHING: Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berpuas hati dengan pengurusan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di kawasan Batu Kawa.
Katanya, PPS tersebut iaitu di Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi dan Dewan Stapok menempatkan seramai 90 keluarga melibatkan 340 mangsa dari kawasan kampung yang sama.
Menurut beliau, keadaan di kedua-dua pusat pemindahan itu dilihat terurus dengan baik serta segala keperluan asas untuk mangsa turut disediakan mencukupi.
“Saya berpuas hati dengan pengurusan tempat ini hari ini. Saya nampak semuanya diatur dengan licin dan bekalan yang diperlukan juga disediakan dengan cukup,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke PPS itu hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Tambah Uggah, kerjasama erat antara agensi penyelamat serta masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar.
Menurut beliau, walaupun terdapat golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas dalam kalangan mangsa, perkara itu tidak menghalang usaha pemindahan kerana mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan semangat kerjasama yang kita galakkan apabila berlaku bencana seperti banjir. Mangsa memberi kerjasama yang baik apabila diarahkan untuk berpindah,” ujarnya.
Katanya lagi, operasi pemindahan yang bermula sekitar jam 1 pagi malam tadi berjaya dilaksanakan dengan teratur hasil pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana yang semakin mantap.
Jelas beliau, operasi tersebut digerakkan dari peringkat Residen dan Pegawai Daerah dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, bomba serta agensi berkaitan lain.
