BINTULU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) merancang menubuhkan sebuah pusat dialisis Islamik di ruang bangunan Martabat Bintulu di sini.
Ini bagi membantu pesakit buah pinggang, khususnya dalam kalangan masyarakat kurang berkemampuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata cadangan tersebut mendapat sokongan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan disertai Timbalan pengerusi LAKIB Datuk Haidar Khan Asghar Khan baru- baru ini.
“Usaha ini diharap menjadi inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya pesakit yang memerlukan rawatan dialisis secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri LAKIB dan PERYATIM 2026 berupa bantuan Hari Raya dan sumbangan kepada masjid serta surau yang keseluruhan sebanyak RM840,800 di Bangunan Martabat Bintulu, di sini, hari ini.
