Berdepan kos sara hidup meningkat, kerajaan cari mekanisme ringankan beban rakyat

ASAJAYA: Kerajaan sentiasa mencari mekanisme terbaik bagi membantu meringankan beban rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kenaikan harga minyak dan barangan yang berlaku ketika ini turut dipengaruhi faktor luaran termasuk konflik geopolitik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada pasaran global.

Katanyaa, kerajaan sentiasa peka terhadap cabaran dan terus mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jelajah Amal Ramadan Kota Samarahan yang diadakan di Kampung Asajaya Tengah, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan meluluskan geran berjumlah RM10,000 kepada Surau Darul Taqwa Kampung Asajaya Tengah bagi menyokong aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan.