Program Kelam Carbut Belia Tupong medium lahirkan generasi niaga berdaya saing

KUCHING: Program Kelam Carbut Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N6 Tupong menjadi medium untuk melahirkan generasi belia yang lebih proaktif, berdaya saing selain berdaya saing.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N6 Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, aktiviti itu juga mampu merancang dan melaksanakan program komuniti secara berterusan demi manfaat masyarakat sekitar.

Katanya, setelah berjaya dalam siri pertama penganjuran beberapa bulan lalu, Pergerakan Belia N6 Tupong turut menganjurkan program tersebut sempena bulan Ramadan bagi memberi peluang kepada orang ramai membeli barangan keperluan Raya dan juadah moreh.

“Program pertama diadakan sebelum bulan puasa dan menerima sambutan sangat baik daripada orang ramai. Susulan itu, Pergerakan Belia mengambil keputusan untuk menganjurkan satu lagi program ini.

“Saya pesan kepada mereka (Belia) setiap program yang dianjurkan perlu bermula dengan mengenal pasti apa yang benar-benar diperlukan oleh masyarakat. Apabila keperluan tersebut dikenal pasti, sesuatu program dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau Program Kelam Carbut Belia N6 Tupong bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di pekarangan parkir kereta Kubah Ria, Kuching, malam tadi.

Program anjuran Belia N6 Tupong dengan kerjasama Youlead Sarawak itu bermula 13 hingga 15 Mac, jualan bermula 8 malam hingga 1 pagi.

Program tersebut berjaya menarik penyertaan 25 peserta jualan. Ia bertujuan memantapkan ekonomi belia selain memperkukuh budaya digitalisasi dalam kalangan peniaga, khususnya melalui
penggalakkan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti Sarawak Pay.

Sementara itu, Bendahari Belia N6 Tupong merangkap Timbalan Ketua Projek program, Sharifah Nur Shaqeera Wan Jordan berkata, pemilihan lokasi projek amat bersesuaian kerana ia merupakan laluan umum yang terletak berdekatan Medan Niaga Satok.

“Alhamdulillah jualan ini mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar yang membeli belah barangan keperluan sambutan Aidilfitri,” katanya.