SIBU: Penubuhan Hab Halal pertama di Sibu di Taman Selera Harmoni berpotensi sebagai platform penting mempromosikan produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, malah ia merupakan langkah yang amat signifikan.
Katanya, industri halal kini merupakan salah satu sektor ekonomi yang berkembang pesat di peringkat global.
“Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah turut mendapat pengiktirafan masyarakatantarabangsa kerana piawaian halal sering dikaitkan dengan aspek kebersihan, keselamatan serta kualiti produk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayeed Azmee Wan Junaidi pada Majlis Penyalaan Lampu Hab Halal di Taman Selera Harmoni di sini malam tadi.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, komuniti serta usahawan amat penting bagi memastikan kejayaan dan kelestarian pembangunan industri halal di kawasan tersebut.
Beliau sehubungan itu turut menggesa usahawan tempatan agar merebut peluang berkenaan dengan meningkatkan inovasi, kualiti produk serta memperluaskan rangkaian perniagaan dalam industri halal.
“Saya berharap agar hab halal ini terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di Sibu pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Runcit MPS, Kaunselor Jenny Ting, Kaunselor Shirley Ling, Kaunselor Raden Khairulzaman Raden Bustari dan Kaunselor Christopher Kelebit Ansa.
