SPAOH: Seramai 211 keluarga di kawasan Bukit Saban disenarai sebagai penerima Skim Bantuan Tanaman Baharu Kelapa Sawit dengan keluasan maksimum dua hektar bagi setiap keluarga.
Ini dalam usaha memperkukuh ekonomi luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan masyarakat rumah panjang menerima sokongan pembangunan yang tersusun.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan membantu meningkatkan sumber pendapatan isi rumah melalui aktiviti pertanian yang lebih mampan dan berdaya maju.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Makanan dan Sukaneka Bukit Saban di rumah panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku.
Uggah berkata selain skim tanaman baharu kelapa sawit, penerima Skim Bantuan Tanaman Lada Baharu di kawasan berkenaan turut dikenal pasti.
Katanya, bantuan tersebut termasuk pemberian baja lada bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil serta pendapatan pekebun kecil.
Pada majlis sama, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Betong bersama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak turut menyampaikan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak berjumlah RM62,789.59 kepada 13 usahawan makanan dari Bukit Saban.
Turut hadir Datin Amar Dato Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Ketua Wanita PBB N.37 Bukit Saban Natasha Nasa Douglas serta Pegawai Daerah Betong Laga Kueh.
