Bekalan gas negara cukup untuk operasi loji jana kuasa

PUTRAJAYA: Bekalan elektrik negara pada masa ini tidak terjejas dengan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran semasa krisis geopolitik di Asia Barat.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga sedang memantau rapi perkembangan krisis itu khususnya susulan penutupan laluan berkenaan 2 Mac lalu yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata sistem penjanaan elektrik di Semenanjung menggunakan sekitar 40 peratus hingga 45 peratus gas asli sebagai bahan api utama dan sebahagian besar diperoleh dari sumber gas domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Thailand–Malaysia Joint Development Area (JDA).

“Sehubungan itu, bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Fadillah berkata, berhubung tarif elektrik, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api, justeru, sekitar 85 peratus pengguna terbabit tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa.

“Sejak Julai 2025, tampungan subsidi yang telah diberikan oleh Kerajaan adalah berjumlah RM2,506 juta yang disalurkan kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga,” tambahnya.

Menurutnya, Kerajaan juga komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global melalui kerangka Incentive Based Regulation (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (Regulatory Period 4 – RP4) dari tahun 2025 hingga 2027.

“Sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) pada setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran,”katanya.

Fadillah berkata berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA diunjurkan kekal dalam keadaan rebat sehingga April 2026 dan sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berlarutan, kadar AFA berpotensi berubah pada bulan-bulan berikutnya.

Selain itu, katanya Kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan manakala PETRA akan terus bertindak proaktif dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dalam negara agar tarif elektrik kekal munasabah.

Beliau berkata pengguna pula digalakkan terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah yang bukan sahaja membantu mengurangkan komitmen bil bulanan individu, malah memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara.