Program Sinaran Aidilfitri Pemuda Samariang ceriakan kanak-kanak sambut Aidilfitri

KUCHING: Seramai 150 kanak-kanak dari golongan kurang berkemampuan dibawa membeli pakaian raya di pusat beli-belah AEON di sini hari ini, menerusi Program Sinaran Aidilfitri.

Program anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di N7 Samariang itu
memilih anak-anak dari 22 ranting dengan setiap ranting menghantar lima orang bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir serta Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyantuni kanak-kanak berkenaan.

Sharifah Hasidah ketika ditemui media berkata, setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli keperluan Hari Raya.

“Program kebajikan itu merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan setiap kali bulan Ramadan bagi memberi kegembiraan kepada kanak-kanak, khususnya golongan yang memerlukan supaya mereka turut dapat merasai kemeriahan membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan sejak 21 tahun lalu dan menjadi antara aktiviti yang sentiasa dinantikan oleh masyarakat.

Inisiatif tersebut juga mencerminkan keprihatinan Pergerakan Pemuda Parti PBB serta di peringkat cawangan dalam menjaga kebajikan masyarakat, terutamanya golongan kanak-kanak.