IGAN: Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah menyempurnakan prapembukaan Jambatan Igan (bahagian Mukah) di sini, hari ini.
Jambatan sepanjang 1,439.40 meter (m) dibina mengikut piawaian JKR R5 Standard sebagai jambatan dua lorong dengan menggunakan sistem Prestressed Post-Tensioned T-Beam dan Balanced Cantilever.
Projek ini turut melibatkan pembinaan jalan pendekatan dua lorong di kedua-dua belah jambatan serta kerja menaik taraf sebahagian laluan sedia ada kepada piawaian R5 bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Dengan siapnya Jambatan Batang Igan, ia menjadi jambatan kesembilan yang siap dibina di Sarawak selepas Jambatan Marudi, Muara Lassa, Tun Taib Mahmud (Jepak), Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman (Batang Rajang), Batang Saribas, Datuk Amar Juma’ani (Bintangor), Sebauh dan Lingga.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine, Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta yang lain.
