KUCHING: Program Rakan UKAS “Berambeh Sungkey” anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak berjaya menjadi platform berkesan dalam merapatkan hubungan silaturahim antara agensi kerajaan dan komuniti.
Selain itu, pada masa sama menyalurkan maklumat tepat mengenai dasar serta inisiatif semasa kerajaan kepada rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pendekatan turun ke peringkat komuniti melalui program seperti ini penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat sahih serta memahami perkembangan semasa negeri.
Menurut beliau, selain diadakan di kampung-kampung, siri program Rakan UKAS turut diperluaskan ke beberapa lokasi lain di seluruh Sarawak sebagai usaha berterusan mendekati masyarakat.
Abdullah berkata demikian semasa program tersebut yang diadakan di Esplanade Kampung Sourabaya baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penglibatan aktif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam program seumpama ini mampu memperkukuh perpaduan komuniti.
Beliau menambah, pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan sepanjang bulan Ramadan turut membuka ruang kepada orang ramai melakukan amal jariah dan membantu golongan memerlukan.
Majlis dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mu’al Suaud sebelum diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada 60 penerima terdiri daripada golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal melalui Pusat Khidmat Pantai Damai.
Dalam program sama, sebanyak 500 pek bubur pedas diagihkan kepada penduduk setempat manakala bubur lambuk turut disumbangkan oleh Pertubuhan Keturunan Waris Pengiran Sarawak sebelum acara berbuka puasa bersama komuniti diadakan dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
