Lapan asnaf perumahan Apollo Sibu terima bakul makanan

SIBU: Seramai lapan asnaf terpilih dari sekitar perumahan Apollo Sibu menerima bakul makanan yang disumbangkan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee di Sibu , semalam.

Penyerahan sumbangan diadakan di Masjid Darul Firdaus kepada Pengerusi Masjid berkenaan Junaidi Mokhtar.

Sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan dan para penerima terdiri daripada ibu tunggal, balu serta warga emas, yang amat memerlukan sokongan dan bantuan bagi meringankan beban kehidupan harian mereka.

Usaha ini mencerminkan keprihatinan wakil rakyat di kawasan tersebut dalam membantu masyarakat setempat di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.