MATU: Seramai 5,802 penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di daerah ini menerima bantuan kewangan yang diagihkan mengikut kategori masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Daerah Matu.
Majlis yang berlangsung semalam itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya.
Daripada jumlah penerima itu setiap penerima masing-masing menerima sumbangan mengikut kategori iaitu 2,521 isi rumah menerima RM950, 795 warga emas menerima RM500.
Manakala, 2,486 golongan bujang menerima RM500 melalui bantuan SKAS yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau berkata, inisiatif SKAS diperkenalkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha prihatin bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Bantuan ini disalurkan dalam bentuk baucar digital melalui aplikasi S Pay Global yang boleh digunakan untuk membeli barangan makanan asas.
Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut meningkatkan kadar bantuan agar lebih selaras dengan keperluan semasa rakyat serta memastikan setiap keluarga terus terbela.
