Jambatan Batang Igan siap, berakhirnya perkhidmatan feri selama 30 tahun

IGAN: Jambatan Batang Igan sepanjang 1.4 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak RM285.5 juta kini dibuka kepada orang awam bermula hari ini, sekali gus menamatkan operasi perkhidmatan feri yang telah beroperasi di kawasan tersebut selama kira-kira 30 tahun.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan tersebut merupakan satu detik bersejarah khususnya bagi masyarakat di kawasan Igan kerana mereka kini tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu juga mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan projek infrastruktur yang dirancang demi kemudahan rakyat.

“Hari ini kita membuka jambatan ini untuk digunakan sebelum Hari Raya dan bermula hari ini orang ramai boleh menggunakannya. Ini bermakna perkhidmatan feri yang beroperasi kira-kira 30 tahun di sini juga akan dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapembukaan Jambatan Batang Igan, di sini, hari ini.

Uggah berkata, jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk membina lebih 20 jambatan di seluruh negeri bagi menggantikan penggunaan feri.

Katanya, projek tersebut dilaksanakan menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri selepas beberapa projek jambatan sebelum ini dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan Sarawak bukan sekadar bercakap tetapi melaksanakan apa yang dijanjikan.

“Usaha ini juga bagi memastikan penggunaan feri di negeri ini akan menjadi sejarah, dan kita berharap menjelang akhir tahun nanti tidak akan ada lagi perkhidmatan feri dari Kuching hingga ke Miri,” jelasnya.

Tambahnya, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan amat penting bagi meningkatkan hubungan kawasan luar bandar selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat.

Menurutnya, kemudahan tersebut juga akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat selaras aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Dengan adanya jaringan jalan dan jambatan yang lebih baik, perhubungan menjadi lebih mudah dan ini membuka ruang kepada pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine dan Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris.